Peta minda atau dikenali juga sebagai “mind mapping” merupakan suatu pembinaan yang dibuat di atas sehelai kertas, idea penting diletakkan di tengah-tengah sebagai pusat utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah geometri, warna dan sebagainya. Peta minda juga adalah satu teknik yang digunakan untuk meningkatkan daya ingatan melalui penggunaan minda sebelah kanan atau “subconscious mind”.
Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semula maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat. Peta minda boleh membantu kita untuk meningkatkan kecerdasan dan kemahiran diri untuk mengukuhkan daya ingatan dan pemahaman. Peta minda dapat merangsang pelbagai keupayaan yang ada dalam diri kita. Antaranya, kita perlu memikirkan tentang maklumat yang diperlukan dan membuat pemilihan mengikut keinginan sendiri. Secara langsung, kita dikira berhubung secara aktif dengan maklumat yang ada dalam ingatan. Bolehlah sifatkan kita sebenarnya sedang berbicara dengan daya ingatan sendiri. Peta minda itu juga boleh merangsang beberapa anggota kita yang mempunyai peranan tersendiri. Antaranya, kita perlu berfikir, memerhati, memilih, melukis dan menentukan sama ada kita memahami apa yang kita inginkan. Tangan kita ikut serta dalam kerja-kerja tersebut. Hal ini dapat memahirkan diri dengan disiplin yang penting dalam pembelajaran.
Menggunakan peta minda bermakna kita harus menggunakan kemahiran menyusun maklumat yang betul dan tepat serta mudah difahami. Peta minda juga membolehkan kita membuat perkaitan dengan lebih mudah dan cepat. Apa yang kita ingat akan dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan yang kita lakukan. Kemudian kaitkan pula dengan beberapa isi kecil yang lain. Lama kelamaan akan membentuk idea keseluruhan mengenai apa yang inginkan disampaikan daripada daya ingatan kita. Apa yang menarik mengenai peta minda ialah ia merangkumkan semua aspek bahasa, analitis, reka bentuk, matematik, deria dan sebagainya dalam usaha keseluruhannya.
Kelebihan lain yang terdapat pada peta minda ialah ia mudah digunakan serta sesuai untuk semua tujuan. Peta minda amat sesuai untuk tujuan menelaah pelajaran, mengambil nota yang diajar oleh guru, membaca buku, persediaan sebelum berbahas, untuk bermesyuarat, malah untuk persediaan membeli-belah. Kita tidak perlu menuliskan semuanya pada sekeping atau lebih kertas. Kita tidak akan sukar untuk memikirkan secara mendalam kerana ingatan kita dibantu oleh hasil lukisan dan tulisan mata dan tangan. Peta minda boleh disediakan dengan mudah. Pada buku tulis atau sekeping kertas, tulis topik utama yang menjadi perhatian. Contohnya, topik pembelajaran, eloklah dituliskan di bahagian tengah. Dari sini, pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan topik pembelajaran akan dihasilkan dalam bentuk cabang atau cawangan daripada pembelajaran tadi. Daripada cabang-cabang tadi, kita boleh menghasilkan pelbagai fakta isi kecil yang lain dalam bentuk ranting. Di samping itu, kita boleh juga menggunakan pelbagai imej lain yang boleh mencorakkan peta minda dengan lebih menarik.
Peta Minda adalah satu teknik yang digunakan bertujuan untuk membolehkan minda kita menyimpan sesuatu maklumat atau fakta secara lebih kemas. Teknik ini memerlukan kita mengabungkan beberapa keperluan seperti warna, gambar, garisan dan lain lain lagi. Peta minda sebenarnya mengajar kita selari dengan bagaimana otak kita berfikir. Hasil dari penggunaan peta minda yang betul, akan menjadikan sesuatu fakta dapat di ingat dalam jangka masa yang lama. Apa yang penting ialah, dengan hanya melihat sekali imbas peta minda yang kita buat, ianya akan mengigatkan apa yang kita baca sebelum ini. Bayangkan, bagaimana bergunanya nota yang dibuat dengan teknik ini sebelum peperiksaan bermula. Pelajar lain membaca nota berjela-jela panjangnya tapi anda hanya melihat nota sekali imbas sahaja.
Mengikut seorang penulis Dilip Mukerjea (1996) dalam bukunya bertajuk "Superbrain", melalui pemetaan minda seseorang itu dapat... "learn MORE, remember MORE, use LESS paper, invest LESS effort..." yang membawa maksud penggunaan peta minda dapat memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak, mempertingkatkan daya ingatan tanpa merugikan terlalu banyak kertas serta tenaga. Menurut Tony Buzan iaitu pengasas Peta Minda, pelajar akan lupa apa yang diajar sebanyak 80% dalam masa 24 jam. Walaubagaimanapun, sekiranya pelajar tersebut membuat ulangkaji selama satu jam selepas pelajaran tersebut diajar dan diikuti sehari esoknya, seminggu sekali, sebulan sekali dan 6 bulan sekali, anda akan mudah untuk mengingati kembali.
Peta minda adalah teknik mengingati sesuatu perkara melalui bentuk, warna, kratif, rasa dan lain lain. Proses-proses membuat peta minda pertamanya ialah sediakan sehelai kertas dan pen pelbagai warna. Seterusnya, kata kunci (keyword) yang boleh mengambarkan keseluruhan subjek yang hendak dibuat. Contohnya, membuat peta minda mengenai struktur bumi maka kata kunci yang sesuai adalah bumi. Gunakan kata kunci yang ringkas bersaiz sederhana. Letakkan kata kunci ini di bahagian tengah peta minda. Kita boleh menggunakan kreativiti dengan membuat bulatan, gambar bewarna mengelilingi kata kunci tersebut. Bahan grafik seperti garisan anak panah dan pelbagai untuk membentuk jaringan. Jangan gunakan garisan yang lurus untuk memulakan jaringan. Otak kanan kita suka pada seni dan kreativiti, jadi kalau boleh gunakan garisan bersahaja dan tidak terlalu lurus. Garisan lurus seolah olah statik dan tidak menarik. Kita juga perlu mencampurkan gambar gambar bewarna yang berkaitan bertujuan untuk memperkukuhkan fakta yang hendak diingat. Buat sahaja gambar mengikut kefahaman anda sendiri. Dari cabang utama kita sudah boleh membentuk beberapa cabang lain yang diisi dengan perkataan atau perkara yang bersangkutan dengan cabang utama. Gunakan warna yang terang dan pelbagai bagi menimbulkan kesan harmoni.